KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
Menangi Bekalan Beras Wangi Selama Setahun di Ruang Pameran BERNAS
KUALA LUMPUR (21 November 2018, Rabu) : Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sekali lagi meneruskan tradisi dengan menyertai pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2018 di ruang pameran A214, Dewan A dan juga Laman Padi.
Menarik tahun ini, BERNAS akan menganjurkan beberapa aktiviti dan peraduan beserta hadiah menarik untuk dibawa pulang oleh pengunjung ekspo terbesar negara ini. Antara peraduan yang akan diadakan di ruang pameran BERNAS di A214, Dewan A adalah BERNASVAGANZA, ‘Wheel of Possibility’, dan ‘Rice Affordability’.
Bagi peraduan BERNASVAGANZA, iaitu pertandingan meneka berat beras, pengunjung hanya perlu menjawab beberapa soalan mudah dan meneka berat beras yang terdapat di dalam replika KLCC di ruang pameran BERNAS.
Hadiah utama bagi pertandingan ini berupa bekalan beras wangi selama setahun, tajaan Jasmine Food Cooperation Sdn Bhd. Tempat kedua akan memenangi bekalan beras wangi selama 9 bulan, tempat ketiga bekalan beras wangi selama 3 bulan, manakala pemenang saguhati akan memenangi hadiah bekalan beras putih selama 3 bulan.
Selain itu, pertandingan Badang pula akan dianjurkan untuk pengunjung di Laman Padi pada 1 Disember (Sabtu). Pertandingan yang akan bermula jam 3.00 petang ini akan menguji kekuatan fizikal peserta untuk mengangkat guni beras yang disediakan. Pada MAHA 2016 yang lepas, pemenang pertandingan Badang telah berjaya mengangkat serta membawa pulang beras seberat 220kg.