KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
Temui BERNAS di MAHA 2018
Kenali Lebih 50 variasi beras tempatan dan antarabangsa di ruang pameran BERNAS
Shah Alam (15 November 2018) – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sekali lagi akan turut serta dalam pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2018 di ruang pameran A214 di Dewan A dan juga di Laman Padi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Pameran dwi-tahunan yang masih mengekalkan tema “Makanan Kita, Masa Depan Kita” ini akan diadakan selama 11 hari, bermula dari 22 November sehingga 2 Disember 2018 di MAEPS.
Kenali Variasi Beras Serantau
Pada penganjuran tahun ini, BERNAS akan memperkenalkan lebih 50 variasi beras tempatan dan juga beras dari negara-negara serantau. Antara jenis beras yang akan dipamerkan termasuklah 20 jenis beras tempatan dari Sabah dan Sarawak serta 30 jenis beras – beras dari negara Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan dan juga Bangladesh.
Ruang pameran ini juga akan dijadikan platform perkongsian maklumat menarik mengenai tugas dan tanggungjawab BERNAS dalam membangunkan industri padi dan beras negara seperti Skim Pengilang Bumiputera, Pengurusan Pengagihan Subsidi Harga Padi,
Pemutuan Padi dan maklumat beras plastik
Pelbagai aktiviti menarik seperti ‘Wheel of Possibility,’ pertandingan Badang dan juga pertandingan menganggar berat beras akan turut diadakan di ruang pameran ini. Tambah menarik, hadiah bekalan beras selama setahun juga bakal dibawa pulang oleh pengunjung yang bertuah.
Rasai Masakan Berunsurkan Beras di Laman Padi
Seperti tahun-tahun sebelum ini, Laman Padi juga akan dimeriahkan dengan penyediaan juadah bubur lambuk yang amat sinonim dengan BERNAS ketika pameran MAHA dijalankan. Menariknya tahun ini, bubur lambuk yang disediakan akan menggunakan pelbagai jenis beras seperti beras merah, beras putih tempatan, beras perang, beras wangi dan lain-lain lagi.
Tidak hanya tertumpu kepada juadah bubur lambuk, BERNAS juga akan menyediakan beberapa jenis makanan lain yang berasaskan beras seperti Putu Mayam, Inang-inang, Pongal dan juga bubur Congee kepada pengunjung di Laman Padi.