KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
BERNAS Rai 25 Tahun
Lebih dinamik mengorak langkah di industri padi dan beras negara
SHAH ALAM, 8 Julai 2019 : Selama 25 tahun, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) terus mengukuhkan kedudukannya dalam meningkatkan keberkesanan produktiviti industri padi dan beras negara. BERNAS yang telah mengambil alih sepenuhnya tugas sosial dan komersial yang selama ini dipikul oleh Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) telah meraikan ulang tahun ke 25 nya pada 7 Julai.
Bersempena sambutan jubli perak ini, BERNAS telah meraikan lebih 1,500 tetamu di satu majlis yang diadakan di ibu pejabatnya di Glenmarie, Shah Alam sebagai tanda terima kasih syarikat atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan selama ini.
Antara yang hadir termasuklah wakil dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kumubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pengilang dan pemborong beras, institusi kewangan, rakan niaga serta rakan media.
Sokongan Pelbagai Pihak Tunggak Kejayaan
Pengarah Urusan BERNAS, Ismail Mohamed Yusoff dalam perutusan tahniah beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada anggota kerja BERNAS di seluruh Malaysia atas usaha dan kerja keras mereka selama ini.
Ismail berkata, “Sehingga hari ini, sokongan dari lebih 1,100 warga BERNAS dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan merupakan salah satu tunjang kejayaan syarikat ini.”
“Selain itu, sokongan dan kerjasama pihak berkepentingan lain seperti MOA, agensi – agensi kerajaan yang berkaitan, pesawah, pengilang dan pemborong beras bumiputera turut membantu BERNAS berada di tahap sekarang,” tambahnya lagi.
Ismail turut percaya bahawa amalan budaya ‘Inovasi Berterusan’ merupakan kunci kepada pembangunan dan kecemerlangan korporat.
“Lahirnya BERNAS 25 tahun yang lalu memberikan satu permulaan baru buat industri padi dan beras di negara. Perjalanan ini telah menjadikan BERNAS lebih matang, dinamik dan berwibawa bagi mengorak langkah menghadapi masa hadapan.”
Apa yang pasti sejak penswastaan, BERNAS tidak pernah sesekali tersasar dari tanggungjawabnya melindungi kepentingan rakyat dan lebih 140,000 pesawah berdaftar di negara ini.
“BERNAS juga merancang untuk menganjurkan siri jelajah ke beberapa tempat, terutamanya di mana kami beroperasi. Ianya bertujuan untuk menyatuni masyarakat setempat serta pihak berkepentingan yang secara tidak langsung turut memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelangsungan operasi syarikat,” kata Ismail.