KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
Rai Petugas Hadapan dengan Bubur Lambuk
BERNAS, CSR dan Beras Era sediakan 1,500 pek bubur kepada Anggota Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor
Shah Alam, 27 April 2021 – Pada hari ini, para anggota barisan hadapan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berpeluang menikmati bubur lambuk istimewa daripada beras sumbangan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Lebih istimewa, program tanggungjawab sosial korporat ini merupakan inisiatif bersama di antara BERNAS dengan dua lagi syarikat pembekal bahan makanan asas iaitu Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan Syarikat Era Bayam Kota Sdn. Bhd. (ERA).
Berasaskan resipi tradisi dari Surau Khalid Al-Walid, Shah Alam, Selangor, lebih 1,500 bekas bubur lambuk telah berjaya diagihkan kepada anggota barisan hadapan yang berpengkalan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
YDH Dato’ Arjunaidi Mohamed, Ketua Polis IPK Selangor telah menyerahkan sumbangan kepada wakil anggota IPK Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam serta kariah surau di dalam satu majlis penyampaian ringkas yang berlangsung di dewan surau berkenaan.
Puan Rosniza Baharum, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat BERNAS menyifatkan program ini sebagai tanda terima kasih syarikat atas tahap dedikasi dan komitmen berterusan anggota barisan hadapan dalam membendung penularan wabak Covid-19.
“Al hamdulillah, lebih 50 orang sukarelawan dari BERNAS, IPK Shah Alam, CSR dan ERA telah berganding bahu bergotong-royong seawal jam 8 pagi untuk menyediakan 6 periuk bubur lambuk yang kemudiannya turut diagih kepada anggota polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Subang.” ujar beliau.
“Bubur lambuk yang cukup sinonim sebagai sajian berbuka puasa di negara ini merupakan satu juadah lengkap dan sesuai dinikmati bagi keselesaan perut yang kosong setelah berpuasa lebih 13 jam. Beras juga merupakan sumber karbohidrat sihat yang mampu membekalkan tenaga yang berpanjangan buat para anggota yang bertugas sepanjang hari,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Encik Mohd Azahar bin Mohd Salleh, Ketua Pegawai Kewangan CSR pula berharap agar program seumpama ini akan terus memupuk nilai-nilai murni di kalangan warga kerja selain menggalakkan amalan berkongsi rezeki di bulan Ramadan yang mulia.
“Saya mewakili seluruh warga kerja CSR turut berbesar hati menghulurkan sedikit sumbangan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, susu, biskut dan lain-lain bagi meringankan beban perbelanjaan harian yang ditanggung para anggota polis.” kata Mohd Azahar.
Selain itu, bagi membantu meringankan beban masyarakat, BERNAS turut menyerahkan 200 kilogram ‘Beras RUJI’ kepada Surau Khalid Al-Walid bagi program ‘Dapur Rezeki’ di surau tersebut.