KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Ajak Rakyat Malaysia Terokai Industri Padi dan Peranan Mereka Dalam Menjamin Keterjaminan Makanan Negara di HPPNK 2025

KOTA KINABALU, 31 Julai 2025 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengajak rakyat Malaysia untuk mendekati dunia sebenar industri padi negara sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025, dan memahami bagaimana nasi di pinggan kita adalah sebahagian daripada cerita besar mengenai keterjaminan makanan, pemerkasaan pesawah dan daya tahan negara.

Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pengunjung dialu-alukan ke reruai interaktif BERNAS untuk menerokai bagaimana padi ditanam, bagaimana pesawah disokong, dan bagaimana setiap rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin.

Sebagai rakan strategik kerajaan dalam agenda keterjaminan makanan, peranan BERNAS tidak terhad kepada pengurusan import beras sahaja, malah turut memacu transformasi industri padi tempatan menerusi inovasi, pelaburan, serta kerjasama rapat dengan komuniti pesawah.

“Keterjaminan makanan bermula dengan kesedaran. Apabila rakyat memahami jerih perih di sebalik sepinggan nasi, mereka akan lebih menghargainya, dan itulah kekuatan sebenar negara,” menurut BERNAS dalam satu kenyataan hari ini.

Tumpuan utama tahun ini ialah kejayaan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) – Model Ala Sekinchan di Kota Belud, yang diperkenalkan pada 2022 hasil kerjasama rapat antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Pada musim pertama 2025, Kampung Jawi-Jawi mencatat peningkatan hasil sebanyak 21%, naik dari 3.79 MT/Ha kepada 4.59 MT/Ha – sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah dan pengeluaran beras domestik di Sabah.

Kini berkembang ke 10 lokasi di seluruh Kota Belud, program ini melibatkan lebih 80 pesawah aktif dan menggabungkan amalan moden, latihan, bantuan kewangan dan penggunaan jentera untuk memodenkan pertanian dan meningkatkan taraf hidup pesawah luar bandar.

Pelbagai aktiviti interaktif menarik menanti pengunjung di reruai BERNAS, termasuk pengalaman sensori beras bagi mengenali keunikan dan kepelbagaian varieti padi Malaysia, peraduan teka berat beras yang mana dua pemenang berpeluang menerima bekalan beras percuma selama setahun.

Kunjungi BERNAS di Aras 4, Dewan Konvensyen Sipadan sempena HPPNK 2025 dari 1 hingga 3 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.


Mengenai BERNAS

BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.

Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.

 

PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.