KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

Program Gema Ramadan BERNAS Santuni Golongan Miskin Bandar 
Lebih 1,000 anak yatim, asnaf dan ibu tunggal terima manfaat

Shah Alam, 13 Mac – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memperkukuh program Gema Ramadan syarikat itu pada tahun ini dengan mensasarkan bantuan kepada golongan miskin bandar dalam usaha mencetus impak sosial yang lebih menyeluruh.

BERNAS menyumbang barangan keperluan asas berbentuk beras dan gula serta bubur lambuk kepada lebih 1,000 penduduk terutamanya kepada ibu tunggal, anak yatim dan golongan asnaf di Projek Perumahan Rakyat (“PPR”) Hiliran Ampang.

Majlis penyampaian sumbangan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi BERNAS, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS, Zulkiflee Abdul Rahman dan barisan pengurusan kanan BERNAS.

Tetamu kehormat turut berpeluang mengadakan ziarah Ramadan di rumah-rumah terpilih sebelum majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal yang dianjurkan BERNAS di Surau Al-Falah, PPR Hiliran Ampang.

“Kerjasama strategik bersama entiti korporat seperti BERNAS mencerminkan komitmen teguh syarikat swasta dalam memperkasa komuniti setempat terutama di bulan Ramadan dengan tidak meminggirkan golongan yang memerlukan,” kata Datuk Seri Johari.

“Pemerkasaan taraf hidup komuniti sentiasa menjadi keutamaan BERNAS. Kami bukan sahaja memberikan sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah, tetapi juga kepada golongan miskin bandar yang tergolong di bawah kategori B40,” kata Dato Sri Rohani.

Menurut laporan UNICEF Malaysia pada 2024, sebanyak 41% isi rumah di kawasan bandar kini hidup di bawah garis kemiskinan mutlak, di mana golongan wanita terutamanya ibu tunggal yang paling terkesan dengan purata kependudukan golongan itu di 16 lokasi PPR.

“Dengan mengiktiraf cabaran unik yang dihadapi oleh ibu tunggal, anak yatim dan warga emas, kami telah merangka program sumbangan untuk memudahkan persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri bagi memastikan setiap anggota masyarakat dapat meraikan perayaan ini dengan penuh kegembiraan dan lebih bermakna,” tambah Dato Sri Rohani.

Komitmen BERNAS terhadap pembangunan komuniti tidak hanya terhad kepada ‘Program Gema Ramadan’, tetapi turut merangkumi inisiatif seperti Program Makanan Kesihatan (PROMAK) yang dilancarkan pada Januari 2022. 

PROMAK merupakan program makan tengah hari kepada pelajar sekolah rendah secara percuma sepanjang tempoh persekolahan yang telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar di 97 buah sekolah merentasi lima negeri: Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan terkini di Pahang.

Selain itu, baru-baru ini, BERNAS turut menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin. Sebelum ini BERNAS telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin di seluruh negara. Langkah ini selaras dengan komitmen berterusan BERNAS dalam memenuhi tanggungjawab sosialnya di bawah Perjanjian Konsesi dengan Kerajaan Malaysia, termasuk melindungi kesejahteraan komuniti pesawah.


Mengenai BERNAS

BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.

Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.

 

PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.