KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
Program Makanan Kesihatan BERNAS Diperluas Ke Pahang
Bantu tangani masalah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli
KUALA KOYAN, 28 FEB 2025 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memperluaskan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) ke Pahang dalam usaha memastikan kanak-kanak sekolah rendah mendapat makanan yang seimbang bagi memenuhi semua keperluan nutrisi di peringkat usia awal fasa pertumbuhan.
Jelajah PROMAK BERNAS ke empat buah sekolah di Pahang dan yang pertama seumpamanya ke sekolah Orang Asli memberi manfaat kepada lebih 1,500 murid yang mula menikmati makanan tengah hari secara percuma sejak Oktober tahun lepas.
“Misi PROMAK ialah untuk setiap pelajar mempunyai akses kepada makanan seimbang di sekolah, sihat dan lebih bersedia untuk pembelajaran,” kata Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi BERNAS semasa Majlis Pelancaran PROMAK Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Kuala Koyan, hari ini.
PROMAK Peringkat Negeri Pahang telah dilancarkan dengan rasminya oleh YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.
PROMAK yang diperkenalkan sejak Januari 2022 merupakan satu program kerjasama strategik di antara sektor korporat dan agensi Kerajaan di mana BERNAS bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menggerakkan agenda nasional dalam menangani isu malnutrisi di kalangan murid sekolah rendah di negara ini.
Melalui usaha bersepadu PROMAK, sehingga kini, lebih 20,000 murid sekolah rendah daripada 97 sekolah di lima negeri terpilih iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan yang terkini di Pahang telah menerima manfaat daripada program ini. Lebih daripada 9 juta hidangan makan tengah hari yang berkhasiat dan bernutrisi bernilai RM6 disediakan kepada murid sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah, kurang berkemampuan dan tergolong di bawah kategori B40 sepanjang tempoh persekolahan.
“Penyediaan makanan tengah hari ini merupakan inisiatif yang sangat baik bagi menarik minat murid Orang Asli untuk hadir ke sekolah setiap hari. Langkah proaktif BERNAS melalui program ini juga mampu meningkatkan kesedaran dikalangan ibubapa dan murid-murid akan pentingnya pemakanan yang seimbang sebelum berlaku kesan yang lebih buruk akibat masalah malnutrisi,” kata Guru Besar SK Kuala Koyan, Azhar Teh.
Menurut beliau lagi, beberapa kajian menunjukkan bahawa 70-80 peratus kanak-kanak Orang Asli mengalami masalah malnutrisi atau kebantutan pada usia persekolahan.
Rekod data SEGAK untuk pelajar sekolah yang terlibat dengan PROMAK memperlihatkan impak positif ke atas berat, ketinggian dan kehadiran murid sejak program itu diperkenalkan. SEGAK merupakan ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan oleh KPM.
Seiring dengan komitmen berterusan BERNAS untuk mewujudkan impak yang berkekalan ke atas komuniti, ia berhasrat menjadi pelopor dalam memperjuangkan pemakanan sihat dan seimbang melalui PROMAK kepada murid dengan menyediakan satu hidangan pada satu masa.
BERNAS turut menyokong hasrat Kerajaan dalam memastikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, di bawah Matlamat 2.2 (menamatkan semua bentuk malnutrisi) tercapai melalui PROMAK.
Mengenai BERNAS
BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.
Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.