KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
BERNAS Jamin Bekalan Dan Harga Beras Putih Import Terkawal Dan Kompetitif
SHAH ALAM, 3 JANUARI 2025 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memberi jaminan bekalan dan harga Beras Putih Import (BPI) adalah terkawal dan mencukupi bagi keperluan rakyat negara ini.
BERNAS sentiasa memastikan harga BPI di Malaysia kekal kompetitif dan sejajar dengan corak harga pasaran dunia.
Pakistan adalah salah satu negara utama pembekal BPI kepada BERNAS sejak sekian lama, selain Thailand, Vietnam dan India, demikian menurut BERNAS dalam satu kenyataan bagi menjelaskan mengenai laporan media yang memetik kenyataan Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai cadangan import beras dari Pakistan.
BERNAS juga ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan di antara BERNAS dan Dato’ Syed Abu Hussin berhubung cadangan tersebut seperti yang dipetik media. Namun, BERNAS senantiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperkasa agenda keterjaminan makanan negara.
BERNAS menggalakkan agar kenyataan media yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkaitan isu import beras hendaklah disokong dengan fakta dan perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk BERNAS untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta impak kepada kestabilan pasaran beras negara.
Setakat ini, Malaysia tidak mengalami sebarang krisis bekalan beras. Stok BPI sentiasa mencukupi bagi keperluan negara. Sejak sekian lama, BERNAS telah memastikan ketersediaan bekalan beras secara berterusan tanpa sebarang gangguan.
Selain itu, sebagai pelaksana Perjanjian Konsesi dengan Kerajaan Malaysia, BERNAS komited terhadap tanggungjawab sosial yang telah ditetapkan, termasuk:
- Memberikan jaminan pendapatan kepada pesawah tempatan melalui fungsi BERNAS sebagai pembeli padi terakhir yang bertujuan untuk memastikan padi tempatan sentiasa mendapat pasaran yang baik bila mana pesawah tidak dapat memasarkan padi keluaran mereka kepada kilang-kilang swasta.
- Melaksanakan pengurusan stokpail yang mampan dan memastikan ketersediaan bekalan beras di dalam negara yang mencukupi adalah antara 10 obligasi sosial BERNAS bernilai RM3.2 bilion sepanjang tempoh konsesi.
- Menyokong kebajikan pesawah melalui perkongsian keuntungan beras import sebanyak 30% dan bantuan one-off RM60 juta kepada pesawah yang diumumkan baru-baru ini.
BERNAS juga telah sekali lagi melaksanakan penurunan harga BPI di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik, berkuatkuasa 1 Disember 2024. Pada Mac 2024, BERNAS menurunkan harga BPI daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik di Semenanjung Malaysia, walaupun pada masa itu trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.
BERNAS sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri bagi menjamin ketersediaan produk dan mendokong agenda keterjaminan makanan negara.
Mengenai BERNAS
BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.
Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.