KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Umum Penurunan Harga Beras Putih Import Mulai 1 Disember

Langkah ini selaras dengan pengukuhan Ringgit dan harga terkini pasaran dunia

SHAH ALAM, 30 November – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mendokong usaha Kerajaan untuk melihat harga Beras Putih Import (BPI) berada pada paras yang lebih rendah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia. 

Selaras dengan pengumuman oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu pada Jumaat, BERNAS akan melaksanakan penurunan harga Beras Putih Import di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik, berkuatkuasa 1 Disember 2024. 

Pelarasan harga ini sejajar dengan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (ASD) dan didorong oleh faktor penurunan harga semasa pasaran beras dunia ekoran penarikan balik larangan eksport serta pemansuhan duti eksport bagi beras putih bukan basmati oleh kerajaan India baru-baru ini.

BERNAS, pada Mac 2024 telah menurunkan harga BPI daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik di Semenanjung Malaysia, walaupun pada masa itu trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas. Ia jelas membuktikan komitmen BERNAS yang sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri bagi menjamin ketersediaan produk dan mendokong agenda keterjaminan makanan.

Pada masa ini, Malaysia masih kekal menawarkan harga import beras terendah di rantau Asia Tenggara. BERNAS akan terus mengamalkan pendekatan proaktif dalam memantau keadaan pasaran global dan menyesuaikan harga mengikut keperluan.


Mengenai BERNAS

BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.

Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.

 

PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.