KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
BERNAS - KIMIA Malaysia Umum Kerjasama Strategik Tingkat Piawaian Kualiti Beras
Inisiatif pertama seumpamanya bertujuan memajukan kaedah pengujian beras dan keterjaminan makanan negara.
SHAH ALAM, 14 Oktober 2024 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), pemain utama di dalam industri beras negara, memeterai Nota Kerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bagi melaksanakan ujian perbandingan antara makmal (interlaboratory comparisons, ILC) dan ujian kemahiran untuk aktiviti penggredan beras.
Makmal BERNAS yang merupakan makmal pertama diiktiraf di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melalui ISO17025 bakal mengukuhkan lagi usaha untuk meningkatkan kualiti beras secara keseluruhan di negara ini, selain daripada memastikan konsistensi, kebolehpercayaan dan pematuhan kepada spesifikasi berdasarkan standard yang ditetapkan.
Ini merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di negara ini kerana tiada penyedia program ujian perbandingan antara makmal yang lain bagi skop penggredan beras.
Melalui kerjasama ini, BERNAS akan menyokong KIMIA Malaysia dalam membangunkan kaedah, menyediakan latihan penganalisaan ke atas sampel beras dan membincangkan isu-isu berkaitan penganalisaan beras untuk tujuan ujian perbandingan antara makmal di samping meningkatkan ujian kemahiran bagi analisis beras.
Nota kerjasama ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS, Zulkiflee Abdul Rahman dan Marhayani Md Saad, Ketua Pengarah KIMIA Malaysia serta disaksikan oleh Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi BERNAS.
“Kami mengalu-alukan kerjasama di antara BERNAS dan KIMIA Malaysia di dalam ILC dan ujian kecekapan yang julung kali diadakan untuk penggredan beras. Kami yakin bahawa inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan ke atas industri padi dan beras negara, sekaligus memberikan kesan yang positif kepada kualiti, keselamatan makanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan padi dan beras dalam jangka masa panjang”, kata Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dalam ucapannya.
“Kerjasama ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi yang didorong oleh sains, teknologi dan inovasi (STI), malah ia juga menyokong agenda keterjaminan makanan negara dan meningkatkan daya saing industri beras Malaysia. Kami menantikan hasil positif daripada kerjasama ini dan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak makmal di seluruh negara dalam masa terdekat,” ujar beliau lagi.
BERNAS bersedia untuk berkongsi pengalamannya dan sebagai antara pemegang amanah industri padi dan beras negara, syarikat itu komited untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan pemain industri dalam mendukung agenda keterjaminan makanan negara.
Mengenai BERNAS
BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.
Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.