KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
BERNAS Sokong Agenda Kerajaan Transformasi Dan Perkukuh Industri Padi Dan Beras Tempatan
Shah Alam, 15 September 2024 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dalam usaha mentransformasi sektor pertanian dengan anggaran peruntukan RM5 bilion.
Langkah pelaburan yang diambil oleh Kerajaan bakal merevolusi dan merancakkan lagi industri padi dan beras negara dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan seterusnya meningkatkan taraf hidup para pesawah.
Pengumuman ini merupakan satu langkah yang bertepatan dan seiiring dengan usaha BERNAS sebagai syarikat peneraju di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dalam memajukan industri padi dan beras tempatan negara.
Selari dengan usaha Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM) dalam memacu produktiviti padi negara, pihak BERNAS melalui program SMART SBB telah mula mengadaptasikan penggunaan IoT dan mekanisasi moden. Disamping itu, BERNAS sedang membangunkan sistem pengurusan perladangan bagi memantau sawah berskala besar dengan lebih efisien yang turut dibantu dengan sistem pengesanan awal penyakit dan serangan padi.
BERNAS kekal komited dalam menjalankan obligasi sosialnya bagi memastikan isu keselamatan makanan negara adalah terjamin dan dalam masa yang sama terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan kestabilan dan ketersediaan bekalan beras untuk rakyat Malaysia.
Pengumuman ini bukan sahaja bakal meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan malah dapat merancakkan pertumbuhan dan penggunaan teknologi terbaharu yang dapat menarik minat golongan muda dalam menceburi bidang pertanian.
Mengenai BERNAS
BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.
Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.