KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Lancar Program Inovatif SMART SBB di Langkawi
Merevolusikan Penanaman Padi Pulut dan Pertumbuhan Agropelancongan di Sawah Padi Seluas 540 Hektar Menjelang 2028 untuk Manfaat 326 Pesawah 

 

Langkawi, 6 Mei – Selaras dengan komitmen untuk memastikan keterjaminan makanan negara, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), iaitu pemain utama dalam industri beras, mengumumkan pelaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan di Langkawi, Kedah untuk penanaman padi pulut.

Projek Padi Pulut Langkawi BERNAS ala Sekinchan yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, bermatlamat meningkatkan taraf sosio-ekonomi pesawah melalui pencapaian pulangan pendapatan lebih tinggi dan menambah hasil pengeluaran padi domestik dengan menggalakkan amalan terbaik dalam pengeluaran padi pulut.

Projek ini mencakupi ladang sawah seluas 540 hektar yang bakal memperkasa dan memanfaatkan seramai 326 pesawah. Ia akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dari 2024 hingga 2028, dengan fasa pertama bermula pada Mei 2024 di atas tanah seluas lebih 14 hektar.

Diperkenalkan oleh kerajaan pada 2021, inisiatif SMART SBB bertujuan meningkatkan kadar sara diri (SSR) negara bagi bekalan beras. Penggunaan sistem pengurusan ladang

bersepadu, mekanisasi dan integrasi IoT, seperti yang digariskan dalam pengenalan amalan berkenaan, akan membantu pesawah di Langkawi mengoptimumkan kualiti serta kuantiti hasil mereka, sekali gus menjana pulangan lebih tinggi. Inisiatif ini sejajar dengan dedikasi BERNAS untuk meningkatkan taraf hidup komuniti pesawah tempatan.

Dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), projek di Langkawi ini juga akan mempermudahkan penyertaan pesawah dalam program tersebut melalui bantuan wang pendahuluan untuk modal benih padi.

BERNAS akan meneruskan komitmen dan dedikasi ke arah mendukung agenda keterjaminan makanan negara. Syarikat akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pihak berkepentingan industri yang lain, bagi meningkatkan kebajikan pesawah selain menjamin bekalan beras yang stabil dan mencukupi untuk semua rakyat Malaysia.


Mengenai BERNAS

BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.

Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.



PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.